Monday, May 4, 2009

Kobau oh kobau

satu petang dalam perjalanan dari Kuala Pilah ke Temerloh menerusi Negeri FM saya terdengar sebuah lagu logat negeri yang baitnya lebih kurang begaini....

kocik-kocik jago kobau,
dah bosar den poi mengantau
kadang Pilah kadang ko Gantau

Bait-bait lagu tersebut amat sinonim dengan kehidupan ku. Aku masih ingat lagi sewaktu aku kecil-kecil dahulu iaitu dalam lingkungan umur 5-6 tahun(1962-1963) aku selalu ikut kakak aku yang aku panggil Acik pergi menjaga kerbau. Kerbau diikat tepi sawah perlu dijaga dari memakan batang padi yang menghijau. Kalau kerbau tak ditambat ditepi sawah aku tambatkan dekat padang ditepi belukar yang tak jauh dari rumahku. Kerbau yang ditambat perlu dijaga supaya tak terbelit atau terlepas dari ikatanya. Waktu itu semua kerbau berkelikir dan bertambat serta diawasi pergerakannya. Tidak seperti sekarang kerbau-kerbau dibiarkan merayau mencari makan sendiri tak bertambat dan tak berkelikir. Itulah sebabnya juga mengapa tahi kerbau sekarang ni bersepah di atas jalan raya. Dulu tak pernah pula jadi macam tu. Mungkin kerbau dulu lebih berdisplin dari kerbau sekarang.

Aku fikir orang sekarang pun tak tahu lagi macam mana nak pasang kelikir pada hidung kerbau.
mungkin juga generasi sekarang tak kenal lagi apa bendanya kelikir tu. Kelikir adalah sejenis alat yang dipasang pada hidung kerbau yang berbentuk seperti gelang. Kelikir itu diperbuat sama ada dari rotan atau pun dari dawai tembaga. Kelikir yang dibuat dari dawai tembaga lebih tahan dari rotan. Memasang kelikir pada hidung kerbau bukannya mudah kerana kerbau tersebut perlu dipujuk dan dijinakkan dahulu. Kerja tersebut tak boleh dibuat seorang dan ia perlu dilakukan oleh orang yang pakar kerana silap-silap hari bulan kerbau tersebut boleh bertindak ganas dengan menyondol atau menendang orang yang cuba mengenakan kelikir tersebut. Maklumlah untuk memasukkan kelikir pada hidung kerbau tersebut tentunya sakit jika tidak dilakukan dengan cermat dan pantas. Setelah kelikir berjaya dipasang, tali diikat pada kelikir dan barulah boleh kerbau tersebut ditarik kesana kemari. Itulah sebabnya terdapat bidalan mengatkan bagaikan kerbau ditarik kelikirnya.

Kerbau dan sawah memang tak dapat ku lupakan kerana aku membesar sebagai anak kampong yang sentiasa bermain dengan kerbau dan memekap serta menimba ikan di sawah. satu peristiwa yang tak dapat kulupakan sehingga hari ini ialah insiden yang berlakau pada satu petang. Petang itu aku seperti biasa meneman Acik menjaga kerbau ditepi sawah. Sedang kerbau itu asyik meragut rumput ditepi sawah aku ambil ranting buluh dan aku cucuk-cucuk dekat bontot kerbau tu. Acik memarah pada aku katanya 'jangan dik, jangan kacau kerbau tu". Sebaik sahaja kakakku habis bercakap tiba-tiba secepat kilat kerbau yang ku cucuk bontotnya tu datang menerpa dan menyondol ke arah ku. Bagaikan ditatang Malaikat tiba-tiba sahaja aku dah duduk terselak di atas tengkuk kerbau dan kedua tanganku memegang kedua-dua tanduk kerbau tersebut. Macam mana aku boleh terselak di atas tengkuk kerbau tersebut aku pun tak tahu. Kerbau itupun memusing-musingkan lehernya dengan laju seperti buaian menjadikan aku sebagai pemain sarkes . Tiba-tiba tangan ku terlepas dari tanduk kerbau tersebut dan akau pun terpelanting ke dalam sawah. Acik terjerit terperanjat dan aku menangis ketakutan. Acik cepat-cepat berlari mendapakan aku yang lukus dan tergamam. Mujur juga kerbau tu hanya bertindak setakat itu sahaja dan tidak pula datang meluru dan memijak aku yang dah terperosok dalam lumpur sawah tu. Tuhan masih sayangkan aku. Mujur juga kerbau tu tak merobek dada atau perut aku dengan tanduknya sewaktu ia datang menyondol ke arah ku.

Peristiwa itu membuatkan aku pobia pada kerbau sehinggalh aku bermur belasan tahun baru aku berani pada kerbau.

Selepas ini bersambung lagi....

8 comments:

mountdweller said...

Salam sdr.

Saya juga pernah disondol lembu semasa berumur 5 atau 4 tahun tercampak ke dalam kolam ikan ayah. Itu adalah gara-gara mengacau lembu sedang meragut rumput.

Beberapa tahun dahulu saya ke kampung Mat Daleng, Ulu Tembeling. Di sepanjang sungai dengan boat saya melihat kerbau-kerbau di lepaskan meliar di hutan dan sungai berkawan-kawan. Banyak sungguh. Anak saya menyangka itu adalah badak sebab tidak kenal kerbau. Di Mat Daleng saya tanya orang kampung berapa harga seekor kerbau jantan. Orang kampung cakap RM700 di hantar ke Kuala Tembeling. Cukup murah.

fital said...

Tuan Mountdweller nampaknya kita sama-sama nakal.

INTAN RH said...

enfital, dulu2 sy ada kerbau, namanya "deras" tapi dah selamat dibuat gulai :D

fital said...

Intan lepas pencen nanti saya nak ternak kerbau, awk nak join boleh lah. Kita kawinkan kerbau Pahang dengan kerbau Melaka. Setuju tak?

D'Rimba said...

Terima kasih kembali, mereka rakus mengejar keuntungan yang amat sementara memenuhkan poketnya sahaja.

zedmagel said...

Bro Fitalahmad,

Seronok membaca cerita kerbau, nostalgia di alam kanak-kanak saya. Kami tak le ada kobou macam melaka, kami ada kambing dan lembu. Tapi tak pernah lak naik kat belakang lembu.

Tapi menjaganya siksa sekali.

kontraktorwibawa.blogspot.com said...

KERBAU DULU WALAU PUN TAK BERSEKOLAH TAPI BOLEH DIPUJUK UNTUK DIPASANG KELIKIR.

KERBAU SEKARANG SEMUANYA BERSEKOLAH, TAK MAHU DIPASANG KELIKIR. DEPA BEBAS MENCEROBOH DAN MENJARAH SESUKA HATI.

DIKALANGAN HAIWAN TIADA MANUSIA TAPI DIKALANGAN MANUSIA BANYAK HAIWAN..

sakurasa 2 said...

Selamat Hari Bapa